LAPORAN AKHIR

PENDAHULUAN
Mengiktiraf keahlian dan kepakaran dalam semua bidang mengikut kepentingan agama bangsa dan merupakan merupakan satu nilai yang harus ada dalam benak setiap individu terutama mereka yang bergelar mahasiswa. Nilai ini wajar dimiliki dan diterapkan dalam kehidupan mahasiswa, yang merupakan satu kelompok masyarakat yang rata – ratanya masih di usia muda dan mempunyai minda yang berfikir di luar kotak. Golongan in juga, banyak mendapat pendedahan kepada dunia yang serba canggih daripada segi penyampaian maklumatnya, dengan terdedahnya mereka ke dunia yang serba canggih ini maka banyaklah pendapat dan perbahasan yang datang dari segenap arah.
Justeru itu, golongan ini haruslah bijak dalam mengiktiraf keahlian dan kepakaran seseorang dalam konteks bidang yang mereka anggotai. Penerimaan terhadap sesuatu pandangan itu hendaklah berdasarkan ilmu dan bukan kerana autoriti sesebuah pihak supaya tidak dianggap seperti “lembu yang dicucuk hidung”. Andai memihak kepada sesuatu pihak janganlah  bertindak mengecam pihak yang lagi satu kerana tidak semestinya hujah yang dibentangkan oleh pihak yang bertentangan salah, pasti meraka ada asas kepada hujah – hujah mereka. Jadi, sifat keterbukaan kepada pandangan amatlah penting. 
Penerimaan terhadap sesuatu pandangan akan menjurus ke arah kemaslahatan dari konteks agama, bangsa, dan negara.



ISU SEMASA
Seperti yang berlaku di Malaysia kini, beberapa isu boleh diketengahkan untuk membuktikan bahawasanya mengiktiraf keahlian serta kepakaran golongan yang berilmu merupakan elemen yang penting bagi manusia untuk menentukan perjalanan hidup mereka. Mengambil contoh isu rokok serta vaksin menunjukkan bahawa ada sesetengah pihak yang bekeras dengan pendirian mereka tanpa mempedulikan pendapat daripada golongan yang lebih berilmu dalam bidang tersebut.

            Rokok difatwakan haram oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 23 Mac 1995 lagi. Kenyataan media yang dikeluarkan pada 25 Julai 2011 telah dilengkapi dengan hujah-hujah yang kukuh berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah serta golongan cendiakawan terdahulu. Akan tetapi, masih terdapat segelintir pihak yang masih berpegang kepada pendapat mereka yang mengatakan rokok tidak haram.

            Terdapat pelbagai pendapat yang dikeluarkan seperti hukum rokok sebenarnya adalah makruh, mubah malah ada juga yang mengatakan rokok adalah harus. Pendapat sebegini bukan sahaja memberi kemudharatan kepada diri mereka sendiri, malahan kepada orang lain yang membaca dan mengikut hujah mereka secara membuta-tuli tanpa ada ilmu yang mencukupi atau kajian yang lengkap.

            Memang menjadi sifat manusia untuk mengikut pendapat yang menyenangkan dan memberi manfaat kepada mereka. Mereka yang merokok juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan ini. Bagi mereka, amat susah untuk mereka menerima pendapat bahawasanya rokok yang selama ini mereka beli adalah haram. Hal ini amat membimbangkan kerana umum mengetahui bahawa rokok sememangnya merbahaya bukan sahaja kepada orang yang merokok malah kepada orang sekeliling yang menghidu asap rokok tersebut malahan kesannya adalah lebih buruk daripada orang yang merokok.


Terdapat sebahagian kecil yang menerima pendapat bahawa rokok itu haram akan tetapi masih menghisap rokok dengan alasan susah bagi mereka untuk meninggalkan perkara yang sudah menjadi sebahagian daripada rutin harian mereka. Tidak dinafikan memang sukar untuk meninggalkan perkara yang boleh dikatakan sebagai tabiat. Akan tetapi, dengan azam serta semangat yang kuat di samping keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa menyokong dan memberi semangat kepada mereka. Dengan izin Allah s.w.t. tidak mustahil bagi seseorang perokok tegar untuk meninggalkan tabiat buruk tersebut. Dengan nukilan ini, kami berharap agar mereka yang merokok dapat meninggalkan tabiat tersebut yang sebenarnya daripada mata kasar tidak memberi sebarang faedah kepada diri, keluarga serta orang sekeliling mereka.

            Isu vaksin bukan lah isu baru kerana terdapat beberapa negara yang rakyatnya secara terang-terangan menolak vaksin. Hujah-hujah yang dikeluarkan juga merupakan hujah yang tepat dan boleh diterima akal. Cuma di Malaysia golongan yang menolak vaksin hanya sedikit dan merupakan golongan minoriti. Akan tetapi, isu vaksin mula menjadi bualan apabila berlakunya kes kematian kanak-kanak di Kedah dan Melaka disebabkan kegagalan menerima suntikan vaksin yang sempurna.

            Melihat kepada hujah-hujah yang dibentangkan  golongan pro-vaksin serta anti-vaksin, kedua-dua belah pihak mempunyai hujah serta pendapat masing-masing. Hujah yang dibentangkan pula boeh diterima akal dan mempunyai fakta-fakta tersendiri yang menyokong hujah tersebut. Akan tetapi, terdapat juga sesetengah pihak yang mengeluarkan pendapat serta fakta yang mengarut serta tidak munasabah. Hal ini boleh menimbulkan kekeliruan serta salah faham di kalangan rakyat yang ingin mendapatkan informasi serta hujah yang tepat berkenaan isu tersebut.
            Bukan ingin memihak kepada mana-mana belah pihak, akan tetapi sikap sesetengah golongan yang sedaya-upaya menghasut orang lain untuk menerima pendapat mereka dan menentang habis-habisan pendapat pihak  yang lain amatlah mengecewakan. Semua manusia seharusnya diberi kebebasan untuk mempunyai pendapat mereka sendiri berdasarkan fakta dan hujah yang sahih. Oleh yang demikian, orang sekeliling seharusnya menghormati pilihan serta pendapat tersebut.
            Terdapat juga segelintir pihak yang menyalahkan orang lain kerana pilihan yang dibuat. Menerima vaksin bukanlah maksud mereka bebas daripada sebarang penyakit. Vaksin juga bukanlah penentu samada seseorang akan hidup lama atau sekejap. Semua penyakit datang daripada Allah sebagai ujian untuk hamba-Nya. Kita sebagai manusia seharusnya menerima ujian tersebut dengan redha dan berusaha untuk mencari jalan keluar daripada permasalahan tersebut. Bukan menyalahkan seratus-peratus mana-mana pihak yang mempunyai pendapat yang berbeza.

            Secara ringkasnya, tiada pihak yang betul dan tiada pihak yang salah. Setiap manusia  mempunyai pendapat masing-masing dan menjadi tanggungjawab mereka untuk menanggung segala risiko yang bakal mereka hadapi kelak. Tiada kajian yang menunjukkan keberkesanan vaksin seratus-peratus dan tiada juga kajian yang menunjukkan golongan yang anti-vaksin seratus-peratus mati. Hal ini seharusnya diserahkan kepada Allah s.w.t. untuk ditentukan. Tiada jaminan mereka yang divaksin akan sihat sampai akhir ayat dan tiada jaminan juga mereka yang tidak divaksin akan ditamatkan riwayat hidupnya. Semua terletak kepada rezeki masing-masing. Jika jalan tersebut baik untuk seseorang, tidak bermaksud jalan tersebut merupakan jalan yang terbaik untuk orang lain. Kita sebagai manusia hanya mampu untuk mancari ikhtiar serta jalan. Samada berjaya atau tidak, hanya Allah s.w.t. yang boleh menentukan.



KESAN KEPADA AGAMA

            Antara kesan jika kita mengikitiraf keahlian dan kepakaran dalam semua bidang kepada agama ialah secara tidak langsung kita dapat menyelamatkan agama itu sendiri daripada golongan yang tidak bertanggungjawab daripada mengambil kesempatan akan fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama untuk kepentingan mereka sendiri. Kebiasaannya, kepentingan mereka tidak akan mengambil kira akan kemaslahatan masyarakat umum itu sendiri. Seperti yang kita lihat pada hari ini, terdapat pelbagai kes di mana jika terdapat suatu salah faham mengenai suatu produk atau perbuatan, masyarakat akan membuat andaian sendiri dengan pantas tanpa merujuk kepada pihak yang berilmu dalam suatu perkara. Contohnya, jika kita lihat kes yang baru terjadi iaitu kes Auntie Annes di mana logo halalnya telah ditarik, ramai telah membuat andaian terdapat khinzir di dalam sosej mereka. Hasil daripada kemajuan teknologi pada masa kini, telah tersebar pelbagai berita yang telah terbukti palsu akan status sebenar kes logo halal itu. Ini menunjukkan bahawa rakyat pada masa kini mudah mempercayai khabar angin yang disebarkan oleh golongan berkepentingan secara membuta tuli. Tindakan yang sepatutnya dilakukan ialah dengan merujuk dahulu kepada pihak yang berilmu akan sesuatu khabar angin itu. Suatu pengajaran yang kita boleh ambil daripada kes ini juga ialah kita perlulah pandai untuk menapis pandangan golongan yang berilmu dan juga golongan yang berautoriti dalam sesuatu hal kerana seperti yang kita tahu golongan berautoriti ini ialah golongan yang kebiasaannya besikap populis dalam suatu perkara tanpa mengkaji terlebih dahulu hujah dan dalilnya. Contoh yang lebih jelas lagi ialah kes rokok yang sejak dari tahun 90-an lagi di beberapa buah negeri. Akan tetapi terdapat beberapa pihak yang telah memperlekeh fatwa mengenai rokok ini dengan merujuk kepada beberapa kenyataan yang tidak sahih mengenai rokok. Dengan mempraktikkan sepenuhnya langkah mengikitiraf kepakaran orang lain dalam suatu perkara itu sudah semestinya lebih afdhal jika perkara itu dibawa kepada golongan professional dan ahli agama yang sememangnya berpengetahuan luas dalam hujah rokok ini. Dengan berpandukan pandangan dan hujah pihak yang sememangnya layak dalam hal sebegini, masyarakat tidak akan ragu-ragu lagi jika mereka mendapat tahu suatu fatwa yang dikeluarkan dahulu. Terdapat juga pihak tidak bertanggungjawab yang bertindak untuk menjual rokok elektronik dengan hujah mereka bahawa hanya rokok yang difatwakan haram. Apabila pandangan golongan berilmu diambil kira sebenarnya fatwa yang dikeluarkan merujuk kepada perkara yang memudaratkan kepada kesihatan jika dibawa masuk ke dalam badan. Dengan mengiktiraf dan mengambil kira pandangan golongan sebegini tidak akan terjadi kes-kes di mana ada pihak yang mengambil kesempatan akan suatu fatwa dan secara tidak langsung kebaikan masyarakat dapat dipelihara. Daripada contoh rokok dan kontroversi makanan di atas kita dapat lihat sendiri bahawa dengan mengambil pandangan dua-dua belah pihak tidak kira sama ada golongan berautoriti berkuasa mahupun golongan neutral belimu kita dapat memelihara agama suci kita daripada dipermainkan serta diperkotak-katikkan. Secara tidak langsungnya, kita dapat memelihara imej serta kesucian agama Islam di mata pihak luar terutamanya.



KESAN KEPADA BANGSA

Isu halal dan haram vaksin antara penyebab sesetengah ibu bapa enggan menvaksinkan anak- anak mereka. Kesannya, mereka tidak akan mempercayai pemerintah dan kepada badan yang berautoriti dan akan tiada penamatnya. Seterusnya, umat Islam di Malaysia ini yang kebanyakkannya terdiri  daripada bangsa Melayu. Statistik daripada Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Perangkaan Malaysia mengeluarkan kenyataan bahawa pada tahun 2016 akan ada jumlah pertumbuhan penduduk sebanyak 1.5 peratus bagi tempoh yang sama, yang dianggarkan 31.7 juta orang Malaysia yang didiami dari pelbagai bangsa. Bangsa melayu yang merupakan majoriti penduduk Malaysia yang beragama Islam adalah sebanyak 61.3%. Sewajarnya, umat Islam tidak perlu terlampau risau tentang status halal dan haram vaksin kerana badan yang berwajib sudah dipertanggungjawab untuk mengesahkan keselamatan bahan yang terkandung dalam vaksin untuk penggunaan umat Islam. Pihak berwajib tersebut mempunyai kredibiliti untuk mengawal dan  mengendalikan isu halal dan haram sesuatu vaksin atau ubatan yang melibatkan sensitiviti umat Islam. Namun, sebagai umat islam kita juga perlulah mempunyai ilmu serba sedikit  tentang isu vaksin ini  jika hendak menerima sesuatu pendapat atau kenyataan daripada pihak- pihak yang bertanggungjawab kerana tidak semestinya kenyataan yang dikeluarkan mereka adalah benar kerana setiap manusia ada pendapat dan buah fikiran yang berlainan. Oleh itu, ilmu adalah penting bagi menilai sesuatu perkara supaya kita tidak terlalu bergantung kepada satu pihak sahaja yang mungkin akan menjurus kepada kekeliruan dan keributan masyarakat melayu di Malaysia ini. Walaubagaimanapun, kita sebagai penduduk Malaysia perlu mengiktiraf orang – orang yang pakar dalam bidang ini kerana mereka adalah orang yang mempunyai ilmu. sebagai contoh, kita perlu mendapatkan maklumat tentang isu ini daripada orang yang mahir dalam bidang kedoktoran atau bidang farmasi kerana mereka adalah individu yang mengkaji dalam ilmu perubatan. Justeru, sekiranya penolakan terhadap isu vaksin ini disebabkan kesangsian dan dakwaan terhadap sumber yang tidak halal, umat Islam perlulah menyahut cabaran dalam mempelopori dan menggiatkan industri vaksin yang halal, kerana menjadi tanggungjawab kita untuk untuk bangun dan mengubah keraguan dan sikap was- was dalam ummah kita supaya tidak dibelenggu dilemma dan menyediakan jalan keluar yang sewajarnnya.
Selain itu, kesan tidak mengiktiraf individu yang pakar dalam bidang meraka dapat diselaraskan dalam isu penghisap rokok dan pengguna vape yang kini menjadi isu polemik di Malaysia. Sepertimana penghisap rokok dan pengguna vape mereka tidak akan mempercayai bahawa bahayanya kesan ini keatas diri mereka, individu ini akan terus menentang dan mengemukakan hujah-hujah yang difikir wajar kepada mereka agar mereka dapat mempertahankan dan dapat meneruskan kenikmatan mereka. Rokok yang terbukti bahayanya kesihatan ke atas individu tidak diharamkan secara khususnya di Malaysia. Secara statistik, penghisap rokok di Malaysia menurut portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan, statistik menunjukkan rakyat Malaysia menghisap 23.7 bilion rokok setahun dan jumlah ini satu peningkatan besar daripada 18 bilion batang rokok pada 1998.Jumlah perokok juga meningkat daripada 3.1 juta pada tahun 2007 kepada 4.7 juta dalam tahun 2011. 49 peratus daripada lelaki dewasa di negara ini merokok, melebihi kadar di negara maju seperti di Britain (38 peratus), Amerika Syarikat (35 peratus) dan Sweden (30 peratus). Sebilangan besar perokok juga dikesan mula berjinak dengan tabiat ini sejak remaja. Purata umur mula merokok ialah 19 tahun. Pada 1985, 9.8 peratus remaja didapati merokok dan kadar itu meningkat kepada 18 peratus pada 2000. Vape yang kini sebagai alternatif kepada penghisap rokok untuk berhenti daripada rokok yang kini menjadi trend di Malaysia yang tidak mendatangkan kesan sampingan kepada individu yang menggunakannya. Kementerian kesihatan, yang terdiri dari pakar- pakar dalam bidang perubatan, mengeluarkan kenyataan bahawa kuantiti asap yang banyak masuk dan keluar dalam badan seseorang individu dapat menjejaskan kesihatan. Pengguna vape mungkin pada waktu masa sekarang tidak akan merasa kesannya tetapi kesan bahayanya akan dapat dirasai dalam jangka masa yang lama. Kesannya, pengguna vape akan terus mempertahankan dan menentang dengan menyatakan bahawa ingin menjatuhkan perniagaan anak melayu.
Cadangan saya adalah kepada pihak berwajib khususnya Kementerian Kesihatan ialah supaya  mengubal satu undang – undang agar semua perokok dan pengguna vape yang mendapat penyakit yang dikaitkan dengan rokok dan vape mereka perlulah membayar kos peubatan mereka sendiri tanpa mendapat bantuan daripada mana- mana pihak.



KESAN KEPADA NEGARA
            Malaysia acapkali digemparkan dengan pelbagai isu yang tidak mempunyai solusi yang tepat atau tunggal. Lihat sahaja, isu vaksin, rokok bahkan pelaksanaan hudud di Malaysia memisahkan rakyat kerana berlakunya perbezaan pandangan. Pandangan yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak dalam menjawab isu-isu ini amatlah rapuh dan lemah hujahnya. Mengapakah hal sedemikian terjadi? Hal ini berpunca kerana setiap pihak mengeluarkan pandangan hanya untuk menjaga kepentingan terhadap diri mereka berbanding kebaikan kepada diri mereka mahupun orang di sekeliling. Rakyat Malaysia diberikan kebebasan untuk bersuara, namun begitu kebebasan tersebut disalah ertikan. Acapkali kita dengar akan kepelbagaian pandangan yang dilontarkan oleh masyarakat, hal ini adalah bagi membela diri mereka sendiri. Walaupun kebenaran mengenai sesuatu isu itu sudah ternyata, namun mereka masih berdebat bagi mempertahankan kepentingan diri. Lebih menyedihkan, ada segelintir yang tidak mempunyai pandangan yang tersendiri dan hanya mengikut pandangan arus perdana. Mereka tidak berfikir atau mengkaji, mereka hanya mengikut pandangan majoriti tanpa menyedari bahawa pandangan yang dikeluarkan itu hanyalah menjaga kepentingan individu tersebut. Sebagai contoh, isu paling biasa diperdebat di Malaysia adalah berkaitan rokok. Bagi perokok, mereka akan berasa gembira kerana kerajaan Malaysia tidak mengharamkan rokok, sejurus itu, mereka mampu merokok tanpa rasa bersalah. Kita lihat dari sudut perspektif kerajaan Malaysia, cukai merupakan salah satu sumber pendapatan kerajaan dan rokok dikenakan cukai dengan kadar yang tinggi. Alasan yang dikeluarkan keatas kadar cukai yang tinggi terhadap rokok adalah bagi mengurangkan atau menyukarkan perokok untuk mendapatkan bekalan rokok. Cuba kita berfikir sejenak, andai kata pihak berwajib benar-benar ingin mencegah rakyat dari terjebak dengan rokok, kerajaan boleh mewartakan pengharaman terhadap rokok. Dengan mewartakan pengharaman terhadap rokok, rakyat akan kurang cenderung untuk merokok seturusnya memungkinkan perokok tersebut untuk berhenti.

           
Kurangnya pengiktirafan terhadap golongan yang berilmu terhadap bidang yang sepatutnya menyebabkan rakyat berfikiran sempit dan tidak terbuka. Rakyat yang hanya menerima daripada pihak berwajib tanpa sebarang kajian hanya  kerana mereka adalah badan yang berkuasa tidak kurang seperti robot, hanya mampu mengikut arahan. Di sini ingin menekankan bahawa, pandangan daripada pihak yang berkuasa tidak semestinya betul dan tidak semestinya salah, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang rakyat Malaysia dan beragama Islam bagi mengkaji sesuatu itu sebelum menerima. Sebagai contoh, isu vaksin, yang dikatakan haram perlulah diselidik semula. Kerajaan telah mengatakan bahawa walaupun vaksin terkandung khinzir, namun manfaat dari suntingan vaksin tidak dapat kita sangkalkan. Namun begitu, kita perlulah melakukan kajian mengenai isu tersebut untuk mengetahui mengapa ada segelintir yang enggan menggunakan vaksin dan bersungguh-sungguh menentang penggunaannya. Langkah dalam mengkaji termasuklah melakukan kajian secara persendirian serta bertanyakan kepada orang yang lebih mengetahui. Orang yang mengetahui itu tidak semestinya golongan yang berkuasa, kita perlu juga bertanya akan orang yang mempunyai kepakaran didalam bidang tersebut tetapi tidak bersependapat dengan arus perdana. Dengan melakukan penyelidikan, rakyat akan lebih kritikal dalam menerima dan menganalisa pendapat yang diberi. Hal ini amatlah bagus kerana Islam itu sendiri menggalakkan umatnya berfikir dan sentiasa mencari ilmu pengetahuan. Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia, marilah kita buka minda kita untuk menerima pandangan yang bukan berarus perdana dan janganlah menidakkan pandangan yang bertentangan. Kita perlu mencari orang-orang yang berilmu didalam bidang tersebut dan perlu mengiktiraf keahliannya walaupun orang tersebut bukan sebahagian daripada golongan majoriti. Impak negatif seperti berfikiran sempit dan menerima pandangan tanpa berfikir akan merebak diseluruh Malaysia sekiranya kita tidak mengiktiraf keahlian dan kepakaran individu dalam semua bidang mengikut kepakaran.



KESIMPULAN
Nahtijahnya, pengiktirafan keahlian dan kepakaran dalam semua bidang amat memainkan peranan yang penting di dalam kerangka perbincangan ilmu di kalangan ahli yang berkepentingan. Daripada sudut tentang bagaimana pengiktirafan itu boleh diurus dengan cemerlang, perbezaan terminologi antara ‘pihak berautoriti’ dan ‘pihak berilmu’ harus didetil dengan perinci dan teliti. Ini kerana, ‘pihak berautoriti’ terdorong untuk mengikuti mana-mana pandangan yang dianggap perdana dan diterima umum. Manakala, pandangan yang dirasakan kontradiksi dengan amalan dan buah fikiran umum, akan disingkirkan dan dipandang asing. Bagi terminologi ‘pihak berilmu’ pula, ia didefinisi melalui pentakrifan yang lebih luas dan tidak terbatas kepada posisi jawatan dalam pentadbiran sahaja. ‘Pihak berilmu’ boleh sahaja terdiri daripada orang ilmuan yang mempunyai kepakaran dan keahlian dalam spesifik professyen. Malah, ia boleh juga tergolong di kalangan orang kebanyakan. Lantaran itu, ilmu atau lontaran buah fikiran oleh ‘pihak berilmu’ seharusnya diiktiraf oleh ‘pihak berautoriti’ kerana atas prinsip ‘mengiktiraf keahlian dan kepakaran dalam semua bidang’.

Namun, persoalannya, pengiktirafan di sini bukanlah soal menaiktaraf tahap ilmu yang diperoleh oleh ‘pihak berilmu’, atau secara khususnya kepada orang awam, kepada suatu displin ilmu yang tersendiri. Sebaliknya, cukup sekadar tidak menafikan mana-mana buah fikiran yang dilihat bercanggah dengan pandangan kebanyakan. Seterusnya, sebarang kontradiksi dan penyangkalan perlu dibahas dalam kerangka ilmu dan penghujahan yang bernas. Bukan berdasarkan ketidakmunasabahan tindak-tanduk seperti mencemuh dan memboikot idea tanpa menggunakan perbahasan yang logik dan penghujahan yang boleh diterima akal. Secara tuntas, perbezaan harus diamalkan dalam keadaan harmoni supaya di penghujung hari, rakyat dapat menilai yang mana hak dan batil berdasarkan kematangan hujah dan bidasan, dan juga akhlak berinteraksi dalam ketidaksehaluan pendapat.

Justeru itu, pengiktirafan keahlian dan kepakaran dalam semua bidang harus dimulakan dengan ilmu. Tanpa ilmu, pengiktirafan yang telus dan terbuka dalam semua penjuru, tidak dapat dilakukan. Lalu, pengakhirannya, pengiktirafan ilmu yang tidak bertauliah akan membantutkan perkembangan intelek di kalangan rakyat. Secara tidak langsung, ia akan memberi kesan yang signifikan terhadap, pertama, bangsa, di mana tahap intelektual bangsa akan menjadi sempit dek keahlian dan kepakaran yang dinobat adalah di kalangan ilmu yang tidak bersifat lestari untuk pembangunan akal. Kedua, agama, di mana ia menjadikan penganut agama akan sukar mengaplikasi akal dalam segenap perkara kerana kepercayaan yang semberono dan membuta-tuli dalam sesebuah isu. Akhirnya, negara, di mana ia akan menjadikan seorang warganegara yang lemah untuk bangkit kerana semangat kendiri yang luput berpunca daripada keruntuhan bangsa dan agama. Maka, apa lagi yang tinggal?

Akhirnya, pengiktirafan keahlian dan kepakaran dalam semua bidang amat memainkan kesan
yang singnifikan terhadap bangsa, agama dan negara. Oleh yang demikian, ‘pihak berautoriti’
dan ‘pihak berilmu’ perlu bergembleng sama dalam memastikan ilmu yang diperoleh daripada segenap masyarakat, berlapisan professyen dan bertingkat darjah usia ini, dapat dimanfaatkan demi kemaslahatan kita bersama.



RUJUKAN
·         Kementerian kesihatan Malaysia 

·         Majlis Fatwa kebangasan

·         Kenyataan tentang penggunaan vaksin oleh umat Islam

·         Kes kematian kanak-kanak akibat gagal mendapat suntikan vaksin yang lengkap

·         Pengalaman golongan anti-vaksin

·         Pandangan golongan pro-vaksin

·         Kenyataan tentang pengharaman rokok

·         Pendapat yang menyatakan rokok tidak haram





No comments:

Post a Comment